Langkah uji, kuarantin pengembara dari China tidak sesuai dilakukan – Dr Noor Hisham 

Langkah uji, kuarantin pengembara dari China tidak sesuai dilakukan – Dr Noor Hisham 

CADANGAN untuk melakukan ujian dan kuarantin terhadap semua pengembara dari China ke Malaysia susulan kebimbangan peningkatan kes di negara berkenaan dilihat sebagai tidak sesuai ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata segala tindakan perlu dilihat dengan terperinci matlamat dan kesesuaian masa pelaksanaannya serta keberkesanan tindakan berkenaan.

Beliau berkata, terkini pelbagai pandangan dan kebimbangan disuarakan susulan pembukaan sempadan negara China pada Januari 2023.

“Ada cadangan diberikan untuk kita uji dan kuarantin semua pengembara dari China memandangkan tercetus lonjakan kes dan juga kurangnya maklumat yang dikongsikan bersama.

“Untuk perhatian kita perlu lihat dengan terperinci matlamat dan kesesuaian masa pelaksanaan serta keberkesanan tindakan kita untuk menguji dan kuarantin semua pengembara dari negara China tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, jika matlamat adalah untuk mengurangkan jangkitan kes dalam negara, ternyata cadangan itu tidak akan berkesan kerana Covid-19 sudah pun berada di persekitaran dalam negara dengan pelbagai subvariant dalam fasa peralihan endemik dan mitigasi untuk kita hidup bersama virus tersebut.

“Jika matlamat kita adalah untuk mencegah potensi varian baru SARS-CoV-2 memasuki negara (buat masa ini maklumat varian/subvarian yang dikongsikan oleh negara China kepada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan Malaysia juga mengesan varian/subvarian yang sama melalui jujukan genomik).

“Maka untuk keberkesanan kita perlu pastikan ujian RT PCR negatif atau rtk Ag (profesional) sebelum berlepas dari semua destinasi bukan hanya dari negara China sahaja dan ini juga perlu melibatkan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, harus diperingatkan varian baru boleh merebak merentas sempadan antarabangsa dengan pantas dan boleh muncul di mana-mana.

“Maka tumpuan dan tindakan kita hanya untuk negara China sahaja tidak akan berkesan dan juga tidak munasabah.

“Kita perlu meningkatkan pemantauan dan survelan dari pelbagai sumber dan bukan hanya dari pengembara dari China sahaja tetapi dari semua destinasi. Apa yang penting adalah berkongsi maklumat jujukan genomik dengan negara-negara lain dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini dapat dijalankan melalui pengambilan sampel dan ujian secara rawak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)/ IMR,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak alpa dan meningkatkan aktiviti pencegahan dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam.

“Rakyat Malaysia disarankan untuk mendapatkan perlindungan vaksin dan dos penggalak. KKM akan terus memperkukuhkan sistem kesihatan di klinik kesihatan dan hospital untuk merawat pesakit yang dijangkiti.

“KKM akan terus memantau perkembangan situasi pandemik COVID-19 ini, dan penilaian risiko akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam yang berkesan,” katanya. – Malaysiapost 

Komen