Lebih 250,000 pelanggan Unifi Mobile terjejas akibat pelanggaran data – TM

Lebih 250,000 pelanggan Unifi Mobile terjejas akibat pelanggaran data – TM

TELEKOM Malaysia (TM) mengesahkan 250,248 pelanggan Unifi Mobile, yang terdiri daripada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas akibat pelanggaran data yang melibatkan maklumat perhubungan mereka.

TM dalam kenyataan berkata, jenis data yang terlibat membabitkan nama pelanggan, nombor telefon dan e-mel, namun Ia tidak membabitkan maklumat lain.

“TM mengesahkan bahawa pelanggaran itu telah dibendung dan langkah telah diambil untuk meminimumkan potensi kesan kepada 250,248 pelanggan ini. Pelanggan tertentu yang terjejas telah dimaklumkan.

 “Pelanggan yang tidak menerima sebarang pemberitahuan adalah mereka yang tidak terjejas,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, kenyataan itu berkata TM telah melaporkan perkara itu kepada Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, laporan tersebut mengenai pelanggaran data pada 28 Disember melibatkan jumlah yang terhad untuk maklumat pelanggan Unifi Mobile.

TM berkata, walaupun langkah keselamatan tambahan telah dilaksanakan untuk mengasingkan risiko dan melindungi pelanggannya, pelanggan tidak mengalami sebarang gangguan perkhidmatan dalam kejadian itu.

“TM sedang memantau dengan teliti dan sedang menjalankan penilaian tambahan. Kami menasihati pelanggan supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila menerima komunikasi daripada pihak yang tidak dikenali, serta memastikan maklumat dalam talian mereka pada setiap masa,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, TM turut memaklumkan bahawa privasi dan keselamatan pelanggannya tetap menjadi keutamaan tertinggi syarikat dan pihaknya mengambil serius tentang perkara tersebut.

 “Kami akan terus mengukuhkan dan memastikan rangka kerja keselamatan data, dasar, sistem dan proses kami sentiasa pada penanda aras piawaian Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) Bank Negara Malaysia dan ISO27001, serta piawaian global lain untuk mengelakkan kejadian sedemikian,” katanya. – Malaysiapost

Komen