Mayat lelaki tangan, kaki diikat ditemui di tepi jalan

Mayat lelaki tangan, kaki diikat ditemui di tepi jalan

MAYAT lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mempunyai kesan cedera di kepala ditemui di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang menghala ke Bestari Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mayat yang belum dikenal pasti itu ditemui oleh seorang lelaki tempatan yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada Balai Polis Rawang kira-kira jam 11.40 pagi.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ke tempat kejadian.

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut ke lapangan bagi membantu siasatan di tempat kejadian itu.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa (si mati) adalah seorang lelaki yang dipercayai berbangsa India dalam lingkungan umur 40-an. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.

“Pemeriksaan terhadap tubuh badan si mati mendapati tangan dan kaki telah diikat dengan tali nylon. Terdapat kesan kecederaan luka parah pada bahagian atas kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, berdasarkan keadaan mayat ditemui itu, katanya, mangsa berpakaian lengkap iaitu baju T warna maroon jenama CONFIDENT dan seluar pendek warna hitam jenama H&G.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh. Suspek yang terlibat serta motif kejadian masih dalam siasatan.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan R Kolanthaivelu di talian 03-61262222 / 019-2579232,” katanya. – Malaysiapost

Komen