Maybank siasat dakwaan kebocoran data maklumat

Maybank siasat dakwaan kebocoran data maklumat

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) sedang menyiasat dakwaan berlaku kebocoran data maklumat membabitkan syarikat perbankan tersebut, seperti yang tular di media sosial.

Maybank menerusi ciapan di Twitter, berkata pihaknya tidak berdepan dengan isu pelanggaran data dan sentiasa mengutamakan keselamatan siber.

“Kami memandang serius dakwaan kebocoran data pelanggan ini dan sedang menyiasat sama ada dakwaan ini benar.

“Maybank tidak berdepan pelanggaran data. Bank ingin mengulangi bahawa ia menerapkan keselamatan siber dan langkah perlindungan data yang kukuh untuk melindungi keselamatan, privasi dan integriti data serta sistemnya,” katanya hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggesa pihak Cyber Security Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP) menyiasat dakwaan berlaku kebocoran data peribadi lebih 13 juta pengguna.

Kebocoran data berkenaan didakwa membabitkan maklumat daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro.

Data yang dijual itu didakwa membabitkan 3.5 juta pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta maklumat daripada SPR.

Kebocoran data berkenaan membabitkan, nama pengguna, tarikh lahir, alamat dan nombor telefon pengguna. – Malaysiapost

Komen