Soon Huat lamar Shevon di Maldives

Soon Huat lamar Shevon di Maldives

ROMANTIS! Itulah yang dapat digambarkan kepada pemain badminton negara, Goh Soon Huat yang  melamar kekasihnya di tepi pantai. 

Menariknya, dia melamar gandingan bergu campurannya Shevon Lai sekali gus mengikat tali pertunangan dalam suasana ditiup angin laut kepulauan Maldives ketika matahari sedang terbenam.

Berita gembira itu dikongsi Soon Huat di media sosialnya yang mengakui dia merancang hampir setahun untuk mencari destinasi yang sesuai serta cincin yang sempurna bagi melamar Shevon.

Soon Huat yang berusia 32 tahun, akhirnya memilih Maldives dan melamar Shevon kelmarin bersaksikan matahari terbenam di pulau itu. 

“27 Disember 2022, Saya memberikan anda kejutan paling terbesar dalam percutian ini, meninggalkan memori yang indah dan tidak akan dilupakan dalam hubungan kita. 

“Semuanya rasa berbaloi apabila awak bersetuju sambil mengalirkan air mata kegembiraan,” katanya. 

Soon Huat dan Shevon mula digandingkan bersama bermain dalam bergu campuran pada 2016.

Sebelum itu, Soon Huat beraksi sebagai pemain perseorangan lelaki. 

Soon Huat turut menjelaskan mereka menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu. 

Dia dan Shevon akan memulakan kalendar 2023 dengan beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia 10 Januari depan menentang pasangan Taiwan, Chang ko Chi dan Lee Chih Chen pada pusingan pertama. – Malaysiapost

Komen