Tukang masak maut akibat bungkusan atas kereta meletup

Tukang masak maut akibat bungkusan atas kereta meletup

SEORANG lelaki maut apabila bungkusan yang dijumpai di atas bonet kereta meletup ketika mangsa cuba mengambilnya dalam kejadian di Jalan Pandan Indah, Ampang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat bunyi letupan di tempat kejadian, jam 8.55 malam.

“Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai tukang masak dapati terdapat satu bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet Toyota Corolla Altis.

“Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, berlaku letupan yang dipercayai daripada bungkusan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa yang parah pada bahagian badan dan tangan dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.45 malam tadi di Hospital Ampang.

“Siasatan di lokasi kejadian juga menemui berapa kesan akibat letupan iaitu kesan kemek pada kereta mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Menurutnya punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis. – Malaysiapost

Komen