2022 saksi jatuh bangun figura politik

2022 saksi jatuh bangun figura politik

Najamuddin Mohd Nor

TAHUN 2022 menyaksikan warna-warni arena politik tanah air dengan jatuh bangun, suka duka beberapa figura atau nama besar ahli politik negara.

Ada yang bagaikan mati hidup semula, ada yang tersungkur dan ada yang masih ketidakketahuan masa hadapan kerjaya politiknya.

Pastinya, kisah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mula menjalani hukuman di penjara Kajang bermula 23 Ogos lalu mencetus pelbagai perasaan bercampur kepada rakyat Malaysia.

Pemenjaraan Najib yang juga bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri yang pertama dipenjarakan selepas sembilan tahun menerajui Malaysia pasti sukar ditelan para penyokongnya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atas kesalahan menyalahguna kuasa dalam SRC International.

Berlainan pula nasib Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam waktu singkat daripada Ketua Pembangkang menjadi Menteri Pertahanan sebelum diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri.

Bak kata orang cepat naik, cepatlah turun, senang ke puncak mudah pula menurun.

Ahli Parlimen Bera itu terpaksa menerima hakikat menjadi Perdana Menteri untuk Keluarga Malaysia hanya selama 15 bulan.

Meskipun menang di Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, namun Barisan Nasional (BN) hanya menang 30 kerusi Parlimen menyebabkan Ismail Sabri memahat sejarah menjadi Perdana Menteri paling pendek tempohnya.

PRU-15 juga menyaksikan beberapa tokoh politik ‘super veteran’ yang ‘direhatkan’ rakyat dan mungkin penamat karier mereka seperti bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir yang hilang wang deposit di Parlimen Langkawi.

Tahun 2022 turut menyaksikan rakyat menyingkir tokoh politik ‘curang’ dalam PRU-15 seperti bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamarudin yang masing-masing tewas di kerusi Gombak dan Ampang.

Tiada lagi kelibat muka-muka lama yang selama ini mewarnai Dewan Rakyat seperti Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman, Datuk Mahfuz Omar, Khalid Abdul Samad, Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah Anwar.

Namun tahun 2022 boleh juga diibaratkan sebagai tahun mati hidup semula buat beberapa pemimpin politik terutamanya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas dua kali mencuba dengan mengetuai pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menamatkan penantian selama 24 tahun apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR itu memenangi 82 kerusi Parlimen dalam PRU-15 dan gabungan meraih paling banyak kerusi berbanding PN dengan 73 kerusi.

Selepas lima hari Parlimen tergantung, Anwar akhirnya mendapat sokongan mencukupi termasuk dari BN seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menerajui Kerajaan Perpaduan.

Begitu juga nasib Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi ‘maskot’ pembangkang untuk menghasut rakyat menolak BN pada PRU-15 lalu.

Meskipun BN hanya menang 30 kerusi pada PRU-15, namun takdir menentukannya berada dalam Kerajaan Perpaduan dan Ahmad Zahid telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Berkat kesabaran dan berprinsip dalam politik juga menyaksikan Ahmad Zahid bersama beberapa pemimpin politik lain seperti Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Rafizi Ramli kembali membarisi Jemaah Kabinet.

Tidak dilupakan, 2022 juga mengucapkan terima kasih kepada veteran DAP Lim Kit Siang, pemimpin Bersatu, Datuk Seri Mustapha Mohamad dan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad yang mengumumkan bersara daripada arena politik. – Malaysiapost

Komen