Ahli akademik tak semestinya sesuai jadi menteri KPM, KPT – Mohd Puad

Ahli akademik tak semestinya sesuai jadi menteri KPM, KPT – Mohd Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengkritik bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang menggesa agar ahli politik tidak dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dan pendidikan selepas ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, berpendapat tidak semestinya orang akademik paling sesuai menerajui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kalau orang akademik tetapi tidak ada political will (iltizam politik) pun tak guna juga. Yang penting idea dan komitmen. Maszlee pun asalnya orang akademik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), berkata terdapat orang bukan politik seperti ahli akademik dan perbankan yang apabila menjadi menteri lebih kuat ‘main’ politik.

“Lebih parah bila tidak berjiwa rakyat. Tidur di rumah panjang pun tidak sanggup,” katanya menyindir Maszlee.

Beliau berkata, untuk Bajet 2023 peruntukan lebih besar perlu untuk sekolah pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Masih wujud beratus sekolah pedalaman di sana. Pelan ini sudah dilancar di Paitan Sabah tahun 2013.

“Ini kurang diberi perhatian oleh Maszlee masa dia Menteri KPM. Tidak nampak Maszlee sampai ke sekolah pedalaman 3. Untuk ke sana dia perlu tidur dua malam di rumah panjang,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat cepat belajar tentang struktur dan isu utama pendidikan dalam kementeriannya.

“Semoga Menteri KPM yang baru cepat belajar tentang struktur dan isu utama pendidikan. Jangan sampai suruh KSU (Ketua Setiausaha) atau KPPM (Ketua Pengarah Pendidikan) tolong jawab soalan pemberita masa sidang media,” sindirnya lagi.

Terdahulu, Maszlee dalam ucapan pada seminar dasar awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam, berkata jawatan menteri pengajian tinggi dan pendidikan seharusnya dilantik dalam kalangan pendidik.

Menurutnya, ia kerana ahli akademik lebih mengetahui “isi hati” dan hala tuju kementerian berkenaan. – Malaysiapost

Komen