Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya

Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya

BANJIR yang melanda Terengganu sebelum ini pulih sepenuhnya setelah pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La di Besut ditutup secara rasmi, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, PPS tersebut yang masih beroperasi sebelum ini ditutup pada jam 10 pagi tadi.

“Seramai 22 mangsa daripada lima keluarga yang berada di Masjid Kampung La telah pulang ke rumah masing-masing.

“Rakyat Terengganu bagaimanapun perlu bersiap sedia dengan kemungkinan gelombang banjir seterusnya tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa di PPS berkenaan tidak dapat pulang ke rumah sebelum ini disebabkan kediaman mereka rosak teruk akibat banjir yang melanda daerah itu.

Banjir yang melanda pada 18 Disember lalu di kesemua lapan daerah di Terengganu disifatkan antara yang terburuk sejak 40 tahun lalu.

Lebih 41,000 penduduk yang terjejas banjir telah dipindahkan ke PPS di lapan daerah di Terengganu sepanjang tempoh bencana banjir itu. – Malaysiapost

Komen