Cabaran tahun 2022 buat PDRM lebih matang – KPN

Cabaran tahun 2022 buat PDRM lebih matang – KPN

RENTETAN pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2022 telah mematangkan lagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus cekal dan komited dalam mendepani apa jua bentuk cabaran yang mendatang, seiring dengan peranan dan fungsinya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM akan terus memikul mandat sebagai agensi penguat kuasa utama negara dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Menurutnya, tahun 2022 melabuhkan tirainya dengan meninggalkan pelbagai coretan peristiwa yang telah menguji kesediaan, kekuatan dan kesiapsiagaan warga PDRM dalam memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

“Alhamdulillah, setelah dua tahun mengharungi tempoh pandemik Covid-19, pada April 2022 kita memasuki fasa peralihan endemik yang membolehkan masyarakat menjalani kehidupan normal sebagaimana kita nikmati sebelum pandemik Covid-19.

“Seterusnya, kita telah berjaya memastikan proses peralihan tampuk pemerintahan negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang mencetuskan kacau ganggu ketenteraman awam. 

“Tahniah diucapkan kepada semua petugas PDRM dan terima kasih juga kepada rakyat Malaysia, termasuklah ahli-ahli politik dan penyokong-penyokong parti politik kerana telah memberikan kerjasama yang baik bagi membolehkan perjalanan PRU-15 berlangsung dengan penuh tertib dan tenteram,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2023.

Acryl Sani berkata, negara kemudiannya dikejutkan pula dengan insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022 yang mengorbankan 31 nyawa. 

“Di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah ini telah menyerlahkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua petugas yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam operasi mencari dan menyelamat secara bersepadu ini. 

“Dalam insiden berkenaan, setiap agensi telah mempamerkan kematangan memainkan peranan sepertimana yang digariskan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara 20 dan hasilnya, insiden tersebut telah berjaya ditangani dalam tempoh masa yang relatifnya singkat di mana kesemua mangsa berjaya ditemui,” katanya.

Beliau berkata, negara juga dilanda musibah banjir di beberapa negeri dan semua elemen PDRM ditugaskan secara optimum bagi kawalan keselamatan serta menyelaras bantuan menyelamat antara agensi dan kemanusiaan. 

“Ucapan penghargaan saya zahirkan kepada petugas PDRM yang sentiasa “Sedia Berkhidmat” dalam apa jua keadaan, dengan meletakkan kepentingan keselamatan masyarakat sebagai keutamaan, selari dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

“Saya yakin, PDRM akan mampu memenuhi ekspektasi masyarakat dan sentiasa berada pada landasan yang betul berpandukan kepada tiga fokus utama yang telah saya tetapkan iaitu memperkasakan integriti, memantapkan penyampaian perkhidmatan serta mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, demi kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost 

Komen