Emas olimpik pertama azam tahun baharu Hannah Yeoh

Emas olimpik pertama azam tahun baharu Hannah Yeoh

MEMASUKI tahun 2023, sasaran meraih emas pertama Olimpik di Sukan Olimpik 2024 adalah satu kemestian buat setiap atlet dan rakyat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata harapan pingat emas pertama itu akan melahirkan wira dan wirawati negara yang baharu, memberikan inspirasi kepada generasi juara dan memartabatkan sukan di semua peringkat.

“Road to Gold bukan hanya tentang membawa pulang pingat dari Paris 2024.

“Ia adalah mengenai mencipta formula untuk atlet, memupuk ekosistem sukan secara mapan, mengumpulkan data untuk pelapis akar umbi, membantu atlet membina jambatan dengan peminat sukan tanah air dan mengukur pembangunan serta kejayaan sukan negara.

“Semoga usaha kita untuk mendapatkan emas pertama akan menjadi pembakar semangat yang akan meningkatkan kedudukan anak muda Malaysia dan akan kekal bersama mereka sepanjang hayat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenai peranannya sebagai Menteri Belia dan Sukan, Hannah mengakui ia adalah tanggungjawab yang besar dan bukanlah kerja berseorangan.

“Tirai tahun 2022 akhirnya dilabuhkan dengan tanggungjawab yang besar buat saya.

“Setelah hampir sebulan dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan dan menerusi pelbagai maklum balas daripada pemegang taruh; ternyata bidang sukan bukanlah kerja berseorangan.

“Apabila seseorang atlet atau sesebuah pasukan menang untuk negara dan segala kemasyhuran akan tertumpu kepada mereka, tanpa kita sedari kejayaan tersebut terhasil daripada kerja keras dan sokongan pelbagai ramai pihak,” katanya.

Beliau berkata atlet, jurulatih, pengurus, jurupulih, persatuan sukan, pihak pembuat dasar, badan korporat, keluarga, sekolah, wakil komuniti dan pihak media turut menyumbang dalam melahirkan atlet bertaraf dunia.

“Dalam pertemuan saya dengan atlet kita, saya dapat melihat semangat membara dan keazaman dalam diri mereka tanpa mengira apa jenis sukan.

“Atlet kita mempunyai keazaman yang tinggi dalam diri mereka yang perlu dinyalakan untuk mengulangi semula zaman keemasan dan kegemilangan yang pernah kita cipta bersama, satu masa dahulu,” katanya.

Hannah berkata, untuk mencapai matlamat itu, kita mesti percaya bahawa Malaysia boleh bangkit semula di persada dunia dan melaungkan kata-kata keramat ‘Malaysia Boleh’. – Malaysiapost

Komen