Jangan adakan aktiviti rekreasi di kawasan hutan,Taman Eko Rimba – JPNS

Jangan adakan aktiviti rekreasi di kawasan hutan,Taman Eko Rimba – JPNS

ORANG ramai diingatkan untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan Hutan Simpanan Kekal dan semua hutan rekreasi di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, ia susulan arahan penutupan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor selama tujuh hari yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor pada 17 Disember lalu berikutan cuaca buruk dan musim tengkujuh.

Menurutnya, selain arahan penutupan itu, JPNS turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Operasi di semua kawasan hutan rekreasi di bawah pengurusan pihaknya.

“Notis ini dikeluarkan sejak Oktober lalu dan masih berkuatkuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

“Notis ini juga adalah selaras Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018) iaitu mengenai larangan mana-mana individu memasuki hutan simpan kekal tanpa permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya didapati bersalah, denda tidak melebihi RM 30,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negeri.

“JPNS menyeru orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi termasuklah mandi manda dan perkhemahan di kawasan hutan dan Taman Eko Rimba buat sementara waktu.

“Sebarang urusan dan pertanyaan lanjut boleh menghubungi JPNS dengan segera,” katanya.

Terdahulu semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor diarah tutup selama tujuh hari bermula 17 Disember lalu, susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Batang 16 Disember lalu.

Tragedi itu membabitkan 92 mangsa dengan 61 mangsa terselamat, manakala 31 lagi terkorban yang kesemuanya berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi selama sembilan hari.

Sementara itu, dua penuntut sebuah universiti swasta ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Chiling di Peretak, Kuala Kubu Bharu, semalam

Mangsa dikatakan bersama lima lagi rakan berkunjung ke sungai berkenaan untuk mandi-manda dan aktiviti perkelahan. – Malaysiapost

Komen