Jenazah rakyat Malaysia lemas di Bali selamat tiba di KLIA

Jenazah rakyat Malaysia lemas di Bali selamat tiba di KLIA

JENAZAH seorang warga Malaysia yang lemas di Bali, Indonesia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.15 malam tadi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan, memaklumkan mangsa ditemui lemas pada Rabu lalu selepas dihanyutkan arus kuat pada jam 2.50 petang hari sebelumnya.

“Semasa kejadian di Diamond Beach di Pulau Nusa Penida, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan dua pelancong asing lain yang bergelut dalam air akibat ombak besar dan arus kuat.

“Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memudahcara pengurusan jenazah termasuk penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan untuk membolehkan jenazah dibawa pulang dengan segera,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian itu juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap agar pihak keluarga tabah dalam mengharungi masa-masa sukar ini.

Sementara itu, menurut laporan media tempatan di Bali, saksi yang melihat kejadian pada Selasa lalu, terus melaporkannya kepada pihak berkuasa yang memulakan usaha mencari dan menyelamat dengan segera.

Bagaimanapun, usaha menyelamat pada Selasa terpaksa dihentikan seketika kerana ombak berbahaya selain cuaca buruk dan hari semakin gelap.

Operasi mencari disambung semula keesokannya dan mayat mangsa ditemui pada pukul 10.10 pagi, enam batu nautika daripada tempat beliau hilang. – Malaysiapost

Komen