Kadar tol Besraya, Lekas turun mulai esok

Kadar tol Besraya, Lekas turun mulai esok

KADAR tol di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) diturunkan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan kadar tol antara 0.15 sen hingga 0.50 sen itu dibuat hasil sokongan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

Beliau berkata, penurunan kadar tol itu juga selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu, dan sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan.

“Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya Besraya.

“Manakala kadar tol Lebuhraya Lekas bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km untuk sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Besraya, dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan Lekas.

“Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya Besraya akan membayar RM1.85 sehala.

“Manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya Lekas akan membayar RM7.80 sehala,” katanya

Alexander berkata, penurunan kadar tol itu adalah bagi sepanjang tempoh konsesi kedua-dua tol lebuh raya berkenaan, berbanding kadar asal dalam perjanjian konsesi.

“Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978 bilion.

“Penjimatan peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, cadangan penurunan kadar tol kedua-dua lebuh raya berkenaan adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Kerajaan juga sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya seluruh negara tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui,” katanya. – Malaysiapost

Komen