Kerajaan beri jaminan terus bantu IKS – Rafizi

Kerajaan beri jaminan terus bantu IKS – Rafizi

KERAJAAN memberi jaminan untuk melindungi dan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) dalam berhadapan perkembangan terkini Covid-19 yang berlaku di China.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan membantu IKS sebanyak yang mungkin tentang perkara ini.

“Contohnya tarif elektrik, IKS dikecualikan sepenuhnya. Begitu juga tarif gas minggu lepas ada sedikit penurunan sama ada IKS itu menggunakan bekalan gas atau tidak,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Kenduri Rakyat Parlimen Pandan, hari ini.

Rafizi berkata, kerajaan sedang memantau dengan dekat situasi yang berlaku di China kerana ia akan memberi kesan kepada seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ia juga termasuk kenaikan mendadak harga barangan tertentu kerana kebanyakan aktiviti perkilangan banyak keluar masuk di China.

“Kalau keadaan Covid-19 di China ada kesan kepada ekonomi di China, sudah tentu akan ada kesan di negara kita,” tegasnya.

Menurutnya, selain kerajaan, syarikat di negara ini turut mengikuti dengan dekat situasi Covid-19 yang berlaku di negara berkenaan.

“Dan pengalaman dua tahun lalu itu telah di tambah baik perancangan oleh perusahaan dan syarikat kita.

“Saya berharap keadaan di China terkawal. Tapi apapun kita pantau dengan dekat untuk kita perkuat tindakan yang boleh diambil untuk mengurangkan kalau ada kesan,” katanya. – Malaysiapost

Komen