Lebih banyak pembangunan, bantuan di Pahang untuk 2023

Lebih banyak pembangunan, bantuan di Pahang untuk 2023

Ben Ibrahim

PELBAGAI perancangan pembangunan, bantuan dan inisiatif sedang dirangka kerajaan Pahang untuk tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata perancangan awal itu bagi memastikan kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk melangkah ke tahun baharu yang dijangka lebih mencabar.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai banyak sasaran melainkan cuba sedaya upaya meletakkan Pahang pada kedudukan lebih baik, termasuk memakmurkan ekonomi dan kehidupan masyarakatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tahun 2022 yang bakal melabuhkan tirai bukanlah satu tempoh yang mudah dan tenang kerana pelbagai cabaran terpaksa dihadapi termasuk proses pemulihan pasca Covid-19 dan bencana.

“Tahun 2022 menyaksikan satu proses peralihan kuasa dan kerajaan yang tidak sunyi daripada polemik serta kontroversi, namun semua itu dapat kita harungi dengan baik.

“Jika diimbas, saya gembira kerana banyak kejayaan dicapai, termasuk kejayaan merekodkan hasil negeri tertinggi melebihi RM1 bilion, kemasukan pelaburan RM20.5 bilion dan mengurangkan hutang negeri sehingga berbaki RM900 juta,” katanya.

Wan Rosdy berkata, beliau sudah bersedia memberi perkhidmatan terbaik untuk Pahang sepanjang 2023 selain menolak sebarang usaha membawa kekeruhan, baik dari segi ancaman perpaduan mahupun perpecahan politik yang merugikan.

“Saya doakan semoga Allah melimpahkan Pahang dengan segala keberkatan dan kebaikan, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

Komen