Negeri Pantai Timur terima awal Bantuan Khas Bernas RM10 juta

Negeri Pantai Timur terima awal Bantuan Khas Bernas RM10 juta

BANTUAN Khas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 akan diberi kepada tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, terlebih dahulu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, bantuan khas itu akan disalurkan secara berperingkat kepada pesawah.

Menurutnya, pesawah di tiga negeri terbabit akan menerima bantuan khas berkenaan selewat-lewatnya pada 16 Januari depan.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan agensi dibawahnya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri bagi memastikan proses penyaluran berjalan lancar.

“Seramai 20,598 pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan BERNAS ini berjumlah RM250 bagi setiap pesawah,” katanya dalam satu pengumuman mengenai bantuan khas berkenaan hari ini.

Mohamad berkata, pesawah di negeri-negeri lain pula akan menerima apabila baki bantuan khas BERNAS berjumlah RM50 juta disalurkan.

Pada awal Disember lalu, BERNAS bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya disediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh negara. – Malaysiapost

Komen