PRN Sabah: Empangan Papar diteruskan – Mohd Shafie

PRN Sabah: Empangan Papar diteruskan – Mohd Shafie

KERAJAAN negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) tetap dengan pendirian mahu meneruskan projek pembinaan Empangan Papar walaupun menerima pelbagai bantahan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menjelaskan empangan berkenaan perlu dibina bagi memastikan masalah bekalan air yang melanda sejak sekian lama dapat diatasi.

Katanya, desakan segelintir masyarakat meminta kerajaan membatalkan projek itu tidak mampu mengatasi kepentingan keseluruhan rakyat yang memerlukan bekalan air bersih sepanjang masa.

Jelasnya, jika bantahan itu dilayan, rakyat Sabah akan terus berdepan risiko dilanda masalah ketiadaan bekalan air yang berpanjangan.

“Sudah pasti Empangan Papar kita akan buat, empangan ini menelan belanja RM3 bilion, ini bukan daripada kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri.

“Saya tidak mahu kita berdepan dengan masalah bekalan terputus pada masa depan. Di Papar masalah air juga masih menjadi isu dan pembangunan di Kota Kinabalu air tidak akan cukup.

“Daripada menunggu rakyat kita menderita, kita mesti gunakan minda untuk fikir masa depan, demi masa depan anak-anak agar tidak lebih teruk,” katanya ketika berucap di majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Papar dan Penyerahan Bantuan Pertanian di Papar, hari ini.

Empangan Papar dijangka dijadikan isu oleh pembangkang bagi meraih undi rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya di kawasan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, berkata isu pembinaan empangan itu akan dibangkitkan sepanjang kempen berkenaan kerana rakyat kawasan itu membantah pembinaannya.

Jelasnya, kerajaan Warisan tidak sepatutnya meneruskan projek itu, lebih-lebih lagi ia turut terbabit menyuarakan bantahan  ketika masih sebagai pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Empangan Papar yang terletak di hulu Sungai Papar pada asalnya dinamakan Empangan Kaiduan dengan sebahagian lokasinya terletak di kawasan DUN Moyog, Penampang sebelum dipindah ke kawasan Papar dan ditukar nama selepas Warisan memerintah. – Malaysiapost