Rapatkan saf, teruskan momentum, fokus pemulihan ekonomi untuk tahun 2023 – Hajiji

Rapatkan saf, teruskan momentum, fokus pemulihan ekonomi untuk tahun 2023 – Hajiji

KERAJAAN negeri Sabah akan terus melaksanakan dasar kukuh dalam usaha membawa lebih banyak pelaburan dan mewujudkan ‘spin-off’ ekonomi pada 2023.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pihaknya telah melakukan yang terbaik di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan meraih hasil sebanyak RM6.6 bilion sepanjang tahun 2022.

Menurutnya, hasil kutipan itu adalah prestasi terbaik kerajaan negeri sejak merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963 dan bukti kesungguhan kerajaan pimpinannya membangunakan Sabah.

“Kerajaan akan meneruskan momentum dan menetapkan sasaran kepada lebih banyak peluang yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor di seluruh negeri.

“Sekarang adalah masanya untuk semua pihak merapatkan barisan atau saf, bekerjasama dan mengetepikan sebarang perbezaan supaya kita boleh terus melakukan yang terbaik untuk Sabah.

“Marilah kita semua bersatu terus ke hadapan dan fokus kepada pemulihan ekonomi. Masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2023, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak akan berhenti untuk berpuas hati dan ia terbukti melalui Belanjawan Negeri 2023 bernilai RM5.138 bilion yang diluluskan baru-baru ini, yang juga bajet terbesar dalam sejarah negeri.

“Di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ, kerajaan negeri mencapai rekod pelaburan langsung asing serta pelaburan domestik. Terbaru projek keluli hijau bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Menerusi projek ini, kita akan memperoleh RM33.4 bilion termasuk beberapa lagi projek pelaburan yang kini dalam proses untuk dilaksanakan.

“Sabah juga dijangka mengutip hasil tambahan RM2.45 bilion setahun dalam bentuk royalti dan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, semua kejayaan dan perancangan masa depan itu tidak akan bermakna jika kita tidak mempunyai persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan.

“Bagi memastikan keadaan ini, adalah penting untuk kita mempunyai kestabilan politik. Kita mesti menghalang sebarang bentuk perpecahan yang hanya akan memisahkan kita.

“Justeru, marilah kita berganding bahu merealisasikan empat tonggak pertumbuhan untuk menyokong agenda pembangunan ‘Sabah Diutamakan’, ‘Sabah Melangkah ke Hadapan’, ‘Sabah Maju Jaya’ dan ‘Sabah Bersatu’,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada beliau sepanjang menerajui kerajaan negeri ini.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Salam hormat kepada semua rakyat Malaysia di Sabah. Saya mengucapkan selamat Tahun Baharu 2023 kepada anda semua,” katanya. – Malaysiapost

Komen