Sempadan tanah dalam sungai akibat hakisan

Sempadan tanah dalam sungai akibat hakisan

Ben Ibrahim 

SEJAK lapan tahun lalu, penduduk di sepanjang Sungai Pahang berhampiran Kampung Padang Rumbia dan Kampung Temai berdepan masalah hakisan tebing. 

Keadaan hakisan bertambah buruk selepas banjir besar melanda daerah itu pada tahun 2014. 

Bahkan ada penduduk mendakwa sempadan tanah miliknya juga sudah ‘hilang’ dan kini berada dalam Sungai Pahang. 

Penduduk Kampung Padang Rumbia, Jamidi Wahab, 63, berkata hakisan tebing sungai itu berlaku setiap tahun dan bertambah teruk ketika musim tengkujuh yang lalu. 

“Memang berlaku setiap tahun dan sekarang ini ‘batu sempadan’ tanah milik saya kini berada dalam sungai. 

“Sejak lebih setengah abad saya tinggal di sini, lebih enam meter tanah saya ‘hilang’ akibat hakisan,” katanya ketika ditemui semalam. 

Jamidi Wahab

Dalam kejadian terbaru pada 18 Disember lalu, tebing sungai setinggi kira-kira lima meter terhakis dan merosakkan sebahagian jalan utama yang digunakan penduduk kampung berkenaan. 

Jamidi turut memberitahu ada penduduk mengalami kerugian besar selepas kejadian tebing sungai runtuh itu berlaku. 

“Dulu ada penduduk buat (mengusahakan) ternakan ikan sangkar dan bina rumah dekat tebing sungai untuk memudahkan urusan menjaga sangkar. 

“Tapi dia dah pindah sebab berlaku benda inilah, rumah itu dah tak selamat untuk didiami,” katanya lagi. 

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Hussin, 62, meminta pihak berkenaan memantau keadaan runtuhan tebing sungai itu sebelum kejadian tidak diingini berlaku. 

Zulkifli Hussin

“Minggu lepas mereka ada datang, wakil rakyat pun ada datang tengok keadaan tebing sungai di sini. 

“Kawasan tebing yang runtuh dah dekat dengan pagar rumah sewa saya, memang bimbang jugalah kalau bertambah buruk pada masa akan datang,” katanya. 

Dalam pada itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika dihubungi memaklumkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sedang melakukan tindakan susulan di kawasan runtuhan tebing itu. 

“Buat masa ini pihak JKR sudah menutup laluan yang berlaku runtuhan itu, kos untuk baik pulih jalan berkenaan masih belum dapat kita pastikan, kena tunggu tindakan pembaikan cerun oleh JPS dulu. 

“Untuk keselamatan penduduk sekitar Kampung Padang Rumbia, Kampung Temai dan kampung berhampiran Sungai Pahang dalam daerah Pekan, kita minta kerjasama supaya mereka mematuhi (arahan) papan tanda disediakan. 

“Kita akan pastikan kerja baik pulih dapat disegerakan, bukan sahaja di sini, tapi di semua kawasan berisiko berlaku runtuhan tebing sungai di Pahang,” katanya. – Malaysiapost 

Komen