Tak mustahil Umno ditelan DAP – Abdul Hadi

Tak mustahil Umno ditelan DAP – Abdul Hadi

UMNO tidak mustahil ditelan DAP dalam Kerajaan Perpaduan yang mereka sokong ketika ini sekali gus bakal merugikan masa depan orang Melayu, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan Umno tidak mampu melindungi diri daripada ‘ditelan’ Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang melahirkan DAP di Singapura dahulu.

“Dalil tidak mustahil DAP ‘menelan’ Umno sepertimana sejarah berlaku di Singapura, apabila Umno ketika itu ditelan oleh PAP yang kemudiannya telah melahirkan DAP.

“Walaupun mereka berjaya menubuhkan kerajaan pusat hasil jumlah kerusi yang tidak mencukupi, tetapi mereka bergayut dengan parti-parti kecil yang rapuh tanpa ideologi yang konsisten.

“Undi yang dihasilkan pula datang daripada majoriti bukan Islam, bersama slogan menipu rakyat yang kuat bunyinya, kononnya mahu menghapuskan rasuah, menentang perompak dan lanun yang terlibat dalam penyalahgunaan harta negara dan lain-lain,” katanya dalam Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi menegaskan, sejarah juga membuktikan PAS banyak membantu Umno dan dakwaan akan ‘membunuh’ parti itu jika menjalinkan kerjasama dengan PAS adalah tidak benar serta mengarut.

“Sesiapa yang kata bahawa PAS nak bunuh Umno, tanya siapakah yang bunuh Umno di Singapura dahulu? Jawapannya ialah PAP, bukan PAS.

“Dahulu sekitar tahun 1950-an, Umno memenangi pilihan raya di Singapura, kemudian Lee Kuan Yew menubuhkan parti PAP dengan mengambil orang Melayu yang diletakkan di hadapan seperti sekarang mereka meletakkan orang Melayu di hadapan.

“Dulu pernah Yusof Ishak diletakkan di hadapan, dan diletakkan menteri-menteri Melayu di hadapan, namun selepas itu Umno ditelan habis di Singapura oleh PAP,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga menjelaskan, masih ada pemimpin dan akar umbi Umno yang tidak menyokong pucuk kepimpinan parti itu menjalinkan kerjasama politik dengan DAP.

“Namun, dalam Umno masih terdapat ramai kepimpinan di semua peringkat sehingga akar umbi yang masih setia kepada perlembagaannya yang mempertahankan Islam, Melayu dan bumiputera.

“Mereka tidak reda kepada kapten yang membawa bahteranya tanpa kompas yang betul, sehingga boleh melanggar batu karang yang dapat dilihat dengan nyata, atau dilingkup oleh ombak besar gelora politik yang sedang menggila untuk berkuasa dengan teori matlamat menghalalkan segala cara dengan meneruskan amalan politik luar tabii itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen