4 kenderaan disita, 497 saman dikeluarkan di Pahang

4 kenderaan disita, 497 saman dikeluarkan di Pahang

Ben Ibrahim

SEBANYAK 497 saman dikeluarkan dalam Ops Khas Ambang Tahun Baharu 2023 yang diadakan serentak di empat lokasi di Pahang malam tadi.

Sekatan jalan raya dan pemeriksaan rambang itu dilakukan di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan; Kilometer (KM) 18 Jalan Bukit Ibam-Leban Chondong, Rompin; Jalan Tanjung Lalang, Temerloh dan KM6 Jalan Raub-Bentong, dekat Raub.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, sebanyak 2,692 kenderaan diperiksa dalam operasi itu membabitkan 1,773 kereta, 770 motosikal dan 149 lain-lain jenis kenderaan.

“Pihak JPJ mengeluarkan 480 notis saman manakala polis pula ada mengeluarkan 17 saman.

“Antara kesalahan dikesan ialah cukai jalan tamat tempoh sebanyak 82 kes, tiada lesen memandu 110 kes dan 118 kes lagi membabitkan kesalahan teknikal,” katanya kepada media di Kuantan, awal pagi tadi.

Operasi itu membabitkan 45 pegawai dan anggota daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (15 orang); Jabatan Pendaftaran Negara (lima), Agensi Antidadah Kebangsaan (sembilan) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (tiga).

Dalam operasi bermula jam 8 malam hingga jam 2 pagi itu, pihak JPJ turut menyita dua motosikal dan dua kereta kerana melakukan kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal lain. – Malaysiapost

Komen