Banjir pulih, sesi persekolahan di Terengganu lancar

Banjir pulih, sesi persekolahan di Terengganu lancar

SESI persekolahan penggal ketiga di Terengganu yang bermula hari ini berjalan lancar termasuk di 74 buah sekolah yang sebelum ini terkesan dengan kejadian banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Abdul Muie Ngah, berkata tiada sekolah ditutup akibat banjir termasuk di daerah yang terjejas teruk iaitu Besut dan Kemaman.

Beliau berkata, semua kerja pembersihan telah dijalankan dengan cepat dan baik hasil kerjasama pihak sekolah, masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, sekolah yang terjejas banjir ialah 17 buah di Hulu Terengganu, Dungun (11), Setiu (10), Besut (sembilan), Kuala Nerus (lapan), Kuala Terengganu (lapan); Kemaman (tujuh) dan Marang (empat).

“Jumlah murid yang terjejas pula seramai 5,386 orang, namun semua pelajar dapat kembali ke sekolah dan meneruskan pembelajaran seperti biasa,” katanya memetik Bernama selepas melakukan tinjauan di Sekolah (SK) Pulau Rusa, hari ini.

Menurut Abdul Muie, walaupun terdapat banyak peralatan seperti kerusi meja yang rosak akibat banjir, masalah itu dapat diatasi berdasarkan pengalaman JPNT menguruskan bencana berkenaan sebelum ini.

Katanya, buat masa ini pihaknya masih belum dapat menentukan jumlah kerugian akibat banjir besar kali ini.

“Bagi kerusi meja yang rosak di sekolah terjejas banjir, kita ambil stok lebih dari sekolah lain untuk mereka guna. Apa yang penting pelajar dapat memulakan sesi persekolahan sama seperti pelajar lain.

“Jika tiada uniform sekolah, pelajar boleh pakai pakaian biasa yang sopan untuk sementara,” katanya.

Pada 18 Disember lepas, Terengganu dilanda banjir besar yang mengakibatkan lebih 40,000 mangsa terjejas dan terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di kesemua lapan daerah di negeri ini. – Malaysiapost

Kredit foto: Bernama

Komen