Jika tiada pencabar, wajar jawatan Presiden tidak dipertandingkan – Dr Azhar

Jika tiada pencabar, wajar jawatan Presiden tidak dipertandingkan – Dr Azhar

Najamuddin Mohd Nor

JAWATAN Presiden Umno sewajarnya tidak dipertandingkan sekiranya tiada pencabar yang tampil untuk merebut jawatan berkenaan dalam pemilihan parti itu nanti. 

Ketua Umno Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, ketika ini beberapa pihak tertentu menyuarakan agar jawatan Presiden itu perlu dipertandingkan namun masih menjadi teka-teki siapakah ahli Umno yang bakal mencabar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno. 

Malah, katanya, belum ada pemimpin Umno yang berani menyatakan hasrat mencabar Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden. 

Bagaimanapun Azhar yang juga senator Dewan Negara menegaskan, semua pihak perlu mengambil pendekatan terbuka sekiranya kedua-dua jawatan tertinggi Umno itu dipertandingkan kerana ia membuktikan amalan demokrasi masih subur dalam parti keramat orang Melayu itu. 

“Jika ada mana-mana tokoh pemimpin yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, semua pihak kena terbuka dan menerimanya kerana menunjukkan demokrasi tetap subur dalam Umno. 

“Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak merasakan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gentar dengan mana-mana pencabar. Dan sehingga hari ini tiada mana-mana pencabar yang munculkan diri untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Jadi cakap-cakap yang mahu mereka dicabar itu kenalah tampil ke hadapan menyatakan hasrat untuk mencabar jawatan Presiden mahu pun Timbalan Presiden,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini. 

Mengulas mengenainya, Dr Azhar berkata, pertandingan dalam pemilihan adalah amalan demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan Umno dan tidak menjadi satu kesalahan. 

Jelasnya, apa pun ketetapan yang diputuskan Majlis Kerja Tertingi (MKT) dan Perhimpunan Agung Umno (PAU), semua ahli parti kena akur dan menerima dengan hati terbuka. 

“Pertandingan itu adalah demokrasi dalam perlembagaan parti dan ia tidak menyalahi perlembagaan. Sekiranya PAU dan MKT memutuskan untuk dua jawatan itu tidak dipertandingkan, maka kita perlu akur keputusan tersebut. 

“Namun sekarang ni pada pendapat saya, calon yang mahu mencabar Presiden dan Timbalan Presiden harus menawarkan perkara yang lebih baik lagi untuk kebaikan parti. 

“Presiden dah jadi Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden pun dah jadi menteri, jadi apa lagi nak dicabar dan sekiranya mahu juga kenalah menawarkan apa yang lebih daripada itu,” katanya. 

Komen