Kerajaan Perak tunggu laporan penuh penonton maut dilanggar kereta lumba

Kerajaan Perak tunggu laporan penuh penonton maut dilanggar kereta lumba

KERAJAAN Perak akan meneliti laporan penuh daripada penganjur Pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah susulan kemalangan yang mengorbankan seorang penonton, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata tindakan selanjutnya akan dibuat selepas melihat laporan berkenaan khususnya membabitkan aspek keselamatan.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga penonton yang maut dan peristiwa semalam sudah pasti sesuatu yang kita kesalkan.

“Tindakan selanjutnya akan diumumkan selepas menerima dan meneliti semua laporan penuh termasuk daripada pihak berkuasa dari aspek teknikal, keselamatan penonton, pelumba, pegawai bertugas dan sebagainya,” katanya memetik laporan Bernama.

Petang semalam, seorang penonton yang juga mekanik dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan pada setiap acara sukan bermotor apatah lagi membabitkan kehilangan nyawa.

Menurutnya, pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP). – Malaysiapost

Komen