Langkah segera bendung jangkitan varian baharu Covid-19 – Muhyiddin

Langkah segera bendung jangkitan varian baharu Covid-19 – Muhyiddin

KERAJAAN diharap dapat mengambil langkah segera untuk memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu Covid-19 yang dikesan di beberapa negara.

Serentak itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meminta rakyat mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk mengambil suntikan dos penggalak.

“Saya berharap agar kerajaan dapat segera melaksanakan langkah-langkah untuk meringankan beban kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun 2023.

“Golongan yang miskin semakin bertambah akibat kesempitan hidup dengan lebih 60 peratus penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah yang memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan,” katanya menerusi perutusan tahun baharu 2023 di Facebook.

Justeru, Presiden Bersatu itu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan kepada perkara penting itu menerusi langkah yang mesti diputuskan Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan oleh setiap agensi kerajaan berkaitan.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah dan kita semua dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman, selamat dan sejahtera,” kata bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu.

Menurutnya, beliau memahami kesukaran hidup rakyat akibat pandemik yang melanda negara kerana sehingga kini masih ramai sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup yang tinggi.

Namun, katanya, kita tidak boleh lemah semangat atau berputus asa, sebaliknya perlu bingkas bangun semula untuk berjuang memajukan diri dan keluarga, asalkan sanggup berusaha.

“Segala kesukaran yang kita alami semalam menjadi bekalan untuk memperkuatkan semangat menghadapi hari esok dengan lebih berjaya. Yang penting jangan putus asa dalam menggapai impian kita,” katanya. – Malaysiapost

Komen