Perpaduan Ummah bukan nak ‘lawan’ MN – Shahidan

Perpaduan Ummah bukan nak ‘lawan’ MN – Shahidan

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Perpaduan Ummah (PPU), malam tadi.

Ini adalah NGO kedua ditubuhkan selepas Muafakat Nasional (MN) yang dipengerusikan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, bulan lalu.

Menurutnya, PPU telah diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 29 Disember lalu itu bertujuan menyatukan masyarakat tanpa mengira parti.

“NGO ini berperanan menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira parti, selain memfokuskan kepada kerja kebajikan.

“PPU juga akan diperluaskan di semua 222 Parlimen dalam memastikan usaha membentuk kerjasama seluruh rakyat pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Dalam NGO ini saya sebagai pemudah cara sahaja. Selepas ini, ia akan dipimpin oleh mereka yang lebih hebat,” katanya seperti dipetik Astro AWANI.

Shahidan adalah Setiausaha Agung penaja PPU.

Dalam pada itu, Shahidan menafikan PPU ditubuh untuk ‘melawan’ dengan MN.

“Tidak ada masalah (antara saya dan Annuar). MN juga NGO, PPU juga NGO.

“Sesiapa sahaja jika hendak masuk kedua-dua NGO ini pun tidak apa, tidak ada masalah.

“Masuk tiga atau empat tidak beri apa-apa kesan, tetapi saya nyatakan bahawa PPU lebih tekankan kepada kebajikan dan manifesto supaya semua pihak selepas pilihan raya mesti bersatu padu,” katanya. – Malaysiapost

Komen