Polis siasat ketulenan video panjat Menara Merdeka 118

Polis siasat ketulenan video panjat Menara Merdeka 118

POLIS sedang menyiasat ketulenan video tular memaparkan pasangan dipercayai warga Rusia yang dikatakan menceroboh Menara Merdeka 118 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya akan merujuk video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, polis turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengetahui rekod kemasukan pasangan berkenaan ke negara ini.

“Kita sedang bekerjasama dengan MCMC mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video yang ditularkan menerusi laman web ‘Sky Scraper City Forum.

“Selain itu, kita juga sedang dapatkan pengesahan daripada Imigresen berhubung rekod keluar masuk suspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian di lokasi Op Khas Malam Ambang Tahun Baru 2023, di Jalan Loke Yew, di sini awal pagi tadi.

Yahaya berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada pihak pengurusan menara berkenaan selepas video terbabit tular.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan klip video dan gambar yang dimuat naik pasangan berkenaan telah disunting secara digital.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan pihak tidak berkenaan untuk masuk, sekali gus memanjat menara berkenaan.

“Bagaimanapun, polis harus menunggu hasil dari siasatan yang dibuat selepas merujuk kepada MCMC dan Imigresen,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, baru-baru ini.

Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara itu untuk naik ke puncak. – Malaysiapost

Komen