Sultan Selangor, Tengku Permaisuri titah masyarakat ketepi fahaman politik, hadapi cabaran bersama

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri titah masyarakat ketepi fahaman politik, hadapi cabaran bersama

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bertitah agar setiap ahli masyarakat mengetepikan fahaman politik dan perbezaan luaran sempena tahun baharu 2023.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office sempena Perutusan Tahun Baharu 2023 baginda berdua bertitah supaya usaha itu dilaksanakan dalam mengatasi segala permasalahan dan cabaran yang sedang didepani oleh negara yang disayangi.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin juga tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli-ahli politik bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat.

“Less talk, more action,” titahnya.

Menurut hantaran itu, di tahun baharu ini juga, baginda berdua berharap agar rakyat terus mengutamakan keamanan dan keharmonian serta mengelak daripada menyentuh isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan sesama kaum.

“Semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara yang semakin pulih selepas fasa pandemik dan membawa semula negara ke peringkat lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi,” titahnya.

Dalam pada itu, baginda berdua mendoakan agar 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk sekalian rakyat.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar menyematkan azam tahun baharu untuk berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi dan gaya hidup harian masing-masing khususnya dalam persekitaran prospek ekonomi dunia yang agak membimbangkan pada 2023. – Malaysiapost

Komen