Tsunami PN di Kedah hanya sementara – Ismail

Tsunami PN di Kedah hanya sementara – Ismail

TSUNAMI Perikatan Nasional (PN) di Kedah hanya bersifat sementara, kata Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Menurutnya, gelombang sementara itu wujud disebabkan tiupan sentimen kaum dan agama oleh pihak tertentu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Sehubungan itu, katanya, PH Kedah yakin untuk menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Menyedari tugas berat untuk berdepan dengan ‘tsunami PN’ pada PRU15, PH telah mengatur pelbagai strategi dan sangat yakin keadaan telah mula berubah.

“Keazaman ini diikrarkan oleh semua pimpinan tertinggi PH negeri dalam mesyuarat pengurusan dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya akan menawan Kedah berlandaskan kepada tiga faktor utama.

Faktor pertama, katanya, ‘tsunami PN’ bersifat sementara kerana ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen ini yang hanyalah untuk meraih laba politik selain tidak memberi apa-apa keuntungan dalam usaha pembinaan negara.

“Kedua ialah kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Perpaduan walaupun hanya baru sebulan mengambil alih kerajaan.

“Faktor ketiga pula, PH akan membentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) setelah sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan dan perbincangan mengenainya sudah bermula di semua peringkat,” katanya.

Ismail yakin ketiga-tiga faktor itu akan memberi kelebihan kepada gabungan PH dan BN sekali gus memberi kemenangan dalam PRN akan datang. – Malaysiapost

Komen