Adham sahkan Hishamuddin cabar Presiden Umno? – Lokman Adam

Adham sahkan Hishamuddin cabar Presiden Umno? – Lokman Adam

BAHANG pemilihan Umno kini sudah mula semakin panas dengan desas desus mengatakan akan ada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti berkenaan.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Lokman Noor Adam, mendakwa terdapat Ketua-Ketua Umno Bahagian yang membawa Ketua-Ketua Umno Cawangan ke luar negara untuk meraih sokongan bagi jawatan dalam parti.

“Dalam bahasa mudahnya, proses ‘merasuah’ perwakilan atau Ketua Cawangan sudah pun bermula.

“Ini bermula di Umno Bahagian Tenggara, bila mana Ketua Umno Bahagian Tenggara Datuk Dr Adham Baba yang juga bekas Menteri Kesihatan serta Menteri Sains dan Teknologi, membawa 46 daripada 54 Ketua Umno Cawangan ke Surabaya, Indonesia pada 26 hingga 29 Disember lalu,” katanya di Facebook.

Menurutnya, terdapat dakwaan semasa perjumpaan di luar negara itu, Adham secara terang-terangan telah mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Tenggara.

“Dalam ucapannya beliau meminta Ketua-Ketua Umno Cawangan untuk mengundi Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Presiden Umno.

“Jadi bila kita buat laporan disiplin bukan hanya ke atas Adham tetapi juga Hishamudin yang dipercayai akan mencabar jawatan Presiden,” katanya.

Lokman berkata, pihaknya akan membuat laporan berhubung perkara itu kepada Jawatankuasa Disiplin Umno dan setakat ini tiada bukti kukuh mengenainya, namun ada beberapa individu yang menyertai perjumpaan berkenaan sedia menjadi saksi.

“Maknanya sudah ada pengakuan daripada ‘pengurus kempen’ Hishamuddin yang mengisytiharkan akan bertanding jawatan Presiden Umno.

“Persoalannya siapa akan bertanding jawatan Timbalan Presiden untuk berganding dengan ‘pengkhianat bangsa’ ini,” katanya.

Beliau mengingatkan kepada mereka yang ‘berbelanja’ untuk mengekalkan jawatan bahawa apa yang dilakukan adalah melanggar disiplin parti dan perlu bersedia jika dikenakan tindakan disiplin.

“Jawatankuasa Disiplin Umno diharap bertindak tegas dalam perkara ini. Kita tidak mahu lagi orang yang menggunakan duit dan kita tahu Hishamuddin dibelakangnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaturnya.

“Ini termasuk apa yang dilakukannya (Hishamuddin) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk mempengaruhi 10 Ahli Parlimen Umno memberikan aku janji (SD) kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi H2O (Hishammuddin) perlu ingat mungkin kesalahan disiplinnya dahulu, beliau selamat tidak kali ini mungkin beliau tidak selamat,” katanya. – Malaysiapost

Komen