Bekukan kemasukan pelancong China buat sementara waktu – Veteran Umno

Bekukan kemasukan pelancong China buat sementara waktu – Veteran Umno

VETERAN Umno mendesak kerajaan membekukan kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu bagi membendung jangkitan varian baharu Covid-19 yang ditemui di negara itu.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata sekatan tersebut penting kerana negara sedang dalam proses pemulihan dan mengurangkan kes Covid-19 yang kini mencatatkan dibawah seribu jangkitan setiap hari.

“Kita tidak mahu rakyat berada didalam ketakutan sehingga boleh menjejaskan usaha membendung jangkitan Covid yang sebelum ini telah membebankan negara.

“Janganlah kerana mahukan keuntungan  secupak maka kita akan rugi segantang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, Veteran Umno berharap kerajaan bertindak tegas dan tidak berkompromi dengan pelancong dari China sehingga keadaan Covid-19 di negara itu pulih sepenuhnya.

“Cukuplah dengan pengalaman dua tahun bergelut dengan Covid akibat pembawaan dari pelancong China ke nagara ini sehinggga puluhan ribu rakyat yang mati dan ekonomi negara hampir lumpuh,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata di negara China, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara tersebut pada masa ini.

Menurutnya, kedua-dua varian itu tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) WHO, namun dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi. – Malaysiapost

Komen