Disiplin cara kekerasan fizikal hanyalah tindakan ‘toksik’

Disiplin cara kekerasan fizikal hanyalah tindakan ‘toksik’

MENDISIPLIN secara keterlaluan dengan kekerasan fizikal seperti yang berlaku dalam insiden tular membabitkan jurulatih menampar pemain bola tampar baru-baru ini, adalah tidak wajar dan dilihat sebagai tindakan ‘toksik’ yang memudaratkan.

Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia Nurul Fadzilah Kamaluddin, berkata tindakan disiplin memang sangat penting untuk berjaya, tetapi mendisiplin secara keterlaluan terutama terhadap kanak-kanak adalah sangat tidak wajar.

“Tindakan mendisiplin yang pada mulanya bersifat mengajar beralih kepada satu tindakan toksik yang memudaratkan.

“Dalam kes jurulatih menampar pemain di hadapan khalayak, tindakan sebegitu sangat tidak wajar dan perlu dihentikan. Pelaku perlulah diambil tindakan sewajarnya agar perkara ini tidak berterusan menjadi budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan keterlaluan itu tidak mendatangkan kebaikan sebaliknya boleh membunuh minat seseorang terhadap sesuatu aktiviti sukan dan tindakan itu juga semestinya menjatuhkan semangat dan air muka mangsa.

“Bersukan adalah aktiviti yang sihat. Pertandingan sukan pula dapat memupuk sifat bersaing yang sihat dan juga platform untuk menggilap bakat.

“Maka janganlah ia disulami dengan tindakan keterlaluan seperti penderaan mental dan kekerasan fizikal yang akhirnya mendatangkan kesan toksik kepada yang menyertainya,” katanya.

Nurul Fadzilah, menyeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius tentang perkara itu.

“Satu garis panduan khas kejurulatihan perlu dikeluarkan segera agar menjadi rujukan kepada semua penggiat sukan terutama di peringkat sekolah.

“Ibu bapa atau penjaga perlu diberi keyakinan bahawa penglibatan anak-anak mereka di dalam sukan diperingkat apapun tidak memudaratkan sebaliknya memberi kebaikan dalam pembentukan sahsiah mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen