Gangguan bekalan air di Gombak, KL dijangka pulih malam ini

Gangguan bekalan air di Gombak, KL dijangka pulih malam ini

STATUS pemulihan bekalan air susulan kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park dijangka pulih sepenuhnya 9 malam ini.

Air Selangor dalam kenyataan di Facebook, memaklumkan setakat jam 3 petang tadi, status pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas sudah mencapai 92 peratus.

“Bekalan air dijangka untuk pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 2 Januari 2023 (hari ini).

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, Air Selangor menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya hari ini.

Menurut Air Selangor, sehingga kini sebanyak 99 peratus kawasan terjejas bekalan di Gombak sudah pulih, manakala di kawasan ibu negara, status pemulihan adalah di peringkat 50 peratus.

Kawasan di Gombak yang masih berhadapan gangguan adalah di Taman Ehsan, manakala sebanyak enam kawasan di ibu negara yang masih terjejas bekalan air iaitu Bukit Bandaraya, Bukit Bangsar, Taman Bandaraya, Taman Bangsar, Taman Bangsar Baru dan Taman Lucky.

Semalam, kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park, Sungai Buloh menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 83 kawasan sekitar wilayah Gombak dan Kuala Lumpur. – Malaysiapost

Komen