Hati-hati komen isu Covid-19 babitkan pelancong China – Menteri Pelancongan

Hati-hati komen isu Covid-19 babitkan pelancong China – Menteri Pelancongan

MENTERI Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing meminta orang ramai agar berhati-hati terhadap komen berhubung Covid-19 membabitkan pelancong dari China ke Malaysia susulan pembukaan semula sempadan negara berkenaan.

Beliau berkata, pelbagai laporan negatif di media sosial berhubung pembukaan semula sempadan China berikutan kebimbangan akan menyebabkan peningkatan semula kes Covid-19 seperti yang dihadapi negara itu ketika ini.

Menurutnya, dengan pembukaan sempadan China, ia dipercayai akan menyuntik kepada pembangunan ekonomi dalam pelbagai sektor.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Republik Rakyat China dan rakyatnya terhadap sokongan berterusan kepada Malaysia. Malaysia adalah salah satu daripada 10 destinasi terbaik untuk pelancong China melancong.

“Walaupun kita melihat banyak berita di media sosial yang membuat laporan negatif mengenai pembukaan sempadan China, saya merayu kepada semua supaya berhati-hati membuat komen jika tidak tahu gambaran sebenar

“Jangan merosakkan persahabatan antara Malaysia dan China, hingga pelancong China merasakan kita tidak mengalu-alukan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, semua pihak harus mengikut saluran yang betul, berkomunikasi, membincangkan strategi yang baik, mencari penyelesaian menang-menang dan menghadapi sebarang isu secara bersama-sama.

Sementara itu, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan gesaan sesetengah pihak supaya kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari China sebagai tidak rasional.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang meminta semua pihak berhenti dalam memberikan spekulasi berlebihan berhubung berita tentang republik tersebut membenarkan rakyatnya melancong ke luar negara.

Menurutnya, MATTA mempunyai kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan pelancong China seperti mana yang dilakukan mereka terhadap pelancong dari negara lain. – Malaysiapost

Komen