Individu positif Covid-19 diminta aktifkan fungsi MySejahtera

Individu positif Covid-19 diminta aktifkan fungsi MySejahtera

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan individu disahkan positif Covid-19 supaya mengaktifkan fungsi notifikasi aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia penting bagi memastikan mekanisme pemantauan kendiri ini berfungsi dengan baik.

Katanya, bagi tahun ini dan ke hadapan, KKM akan memantau pesakit Covid-19 yang tidak bergejala selain bergejala ringan dan perkara itu akan diteruskan seperti biasa.

“Ia termasuk menerusi Pelaporan Home Assesment Tool (HAT) dimana pemantauan individu yang tidak bergejala akan menggunakan platform MySejahtera secara keseluruhan serta notifikasi kepada individu yang layak mendapat rawatan ubat antiviral PAXLOVID.

“Selain itu, pemantauan pesakit Covid-19 secara maya akan diteruskan oleh pasukan petugas di CAC dan Fever Centre Klinik Kesihatan masing-masing.

“Manakala, CPRC di peringkat Negeri juga akan terus bertanggungjawab untuk memantau situasi Covid-19 di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pemberian Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan surat pelepasan kuarantin (RO) secara digital juga akan diteruskan seperti biasa melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, KKM merakamkan ribuan terima kasih atas bantuan diberikan syarikat telekomunikasi negara untuk operasi talian CPRC HOTLINE dan CAC HELPLINE Kebangsaan sejak 2020 hingga 2022.

“Ia membabitkan bantuan dari segi bentuk pakej talian telefon, kadar panggilan lebih rendah, kadar SMS yang dikecualikan dan bantuan ejen panggilan tambahan,” katanya. – Malaysiapost

Komen