Isu Syamsul Yusof mahu saman Jawi RM10 juta masih jadi tanda tanya

Isu Syamsul Yusof mahu saman Jawi RM10 juta masih jadi tanda tanya

ISU tindakan saman pengarah terkenal Syamsul Yusof terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), masih tidak mempunyai kata putus selepas jabatan itu belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Syamsul pada Disember lalu memaklumkan bakal mengambil tindakan saman berjumlah RM10 juta terhadap Jawi kerana telah menyebar kenyataan tidak benar, fitnah dan palsu kepada keluarganya.

Terdahulu isterinya, Puteri Sarah Liyana mendedahkan, menerima banyak mesej mendakwa, pengarah itu sudah berkahwin dengan wanita dikenali sebagai Ira Kazar.

Kemelut rumah tangga pasangan itu sampai kemuncak apabila Syamsul memaklumkan akan merungkaikan segala isu dalam masa terdekat.

Dalam sebuah video yang dimuatnaik di Instagram semalam, Syamsul memberitahu akan memberi titik noktah segala kemelut yang timbul.

Menurutnya, selama ini dia mengambil pendekatan berdiam diri kerana enggan membuka aib dan ‘hal dalam kain’ kepada umum.

“Sudah tiba masanya saya bersuara mengenai perkara ini (kontroversi rumah tangga). Saya pun dah penat dan saya percaya netizen pun letih.

“Cuma bezanya nanti, penjelasan saya itu tidak sama dengan apa yang dilakukan isteri saya, Puteri Sarah. Saya tidak mahu membuka pekung atau aib sesiapa.

“Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan leraikan satu persatu kepada umum supaya semua persoalan ini ternoktah.

“Insya-Allah, saya akan beri titik noktah kepada semua permasalahan ini,” katanya dalam video itu.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3. – Malaysiapost

Komen