Kerajaan digesa ambil pengajaran kesilapan kerajaan PH lambat sekat pelancong China

Kerajaan digesa ambil pengajaran kesilapan kerajaan PH lambat sekat pelancong China

KERAJAAN digesa mengambil pengajaran daripada kesilapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Febuari 2020 yang lambat menyekat kemasukan pelancong daripada negara berisiko.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kesilapan kerajaan ketika itu mengakibatkan kematian ribuan rakyat dan kemusnahan ekonomi yang sampai sekarang masih belum pulih.

“Armada Bersatu menggesa kerajaan memantau perkembangan Covid-19 yang amat teruk di China seperti yang dilaporkan oleh media-media antarabangsa.

“Ia mengimbau kejadian serupa di China pada awal 2020 serta kesan buruk pada kesihatan dan ekonomi dunia termasuk Malaysia.

”Tindakan tangkas dan tegas perlu segera diambil bagi mengelak penularan yang berlaku diluar jangka seperti mana yang telah berlaku pada 2020 yang lalu khususnya melibatkan pergerakan keluar-masuk manusia di semua pintu masuk sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, negara-negara lain sudah mula mengambil tindakan pencegahan, termasuk Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengarahkan jumlah penerbangan dihadkan dan wajib menunjukkan keputusan kesihatan sebelum dibenarkan masuk ke negara itu.

Katanya, Amerika Syarikat pula sedang dalam proses menyekat kemasukan pelancong dari China atas sebab kesihatan awam.

“Turki mewajibkan pelancong dari China untuk mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas. United Kingdom dan Perancis memantau sampel Covid-19 secara rawak terhadap penumpang yang datang dari negara berisiko,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata data menerusi portal KKM NOW mencatatkan tujuh kes import baru, dan 576 kes tempatan.

Ujar beliau, rakyat mahu tindakan pencegahan yang lebih ketat serta kerajaan mesti menghalang kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu sehinggalah kes harian di negara itu menurun.

Katanya, Armada mahu kepentingan rakyat diutamakan berbanding hal-hal lain dalam soal ancaman Covid-19 yang terbaru kini. – Malaysiapost

Komen