Kerajaan Kelantan perlu telus urus bantuan banjir

Kerajaan Kelantan perlu telus urus bantuan banjir

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan menggesa Kerajaan Kelantan membentangkan laporan terperinci mengenai agihan bantuan mangsa banjir di negeri berkenaan yang diterima daripada kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain.

Yang Dipertuanya Mohd Syahiran Muhammad berkata, merujuk kenyataan kerajaan persekutuan, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Kedah, jumlah bantuan banjir yang diberikan kepada Kelantan secara keseluruhan berjumlah RM50.7 juta.

Menurutnya, dengan jumlah bantuan banjir yang diberikan itu, sudah pastinya akan melegakan mangsa banjir agar mereka dapat merancang serta membina semula kehidupan mereka setelah bantuan pasca banjir selesai.

“Justeru ABIM Kelantan menggesa kerajaan negeri membentangkan laporan agihan bantuan kepada mangsa banjir iaitu membentangkan mekanisme dan prosedur rapi bagi memudahkan masyarakat awam untuk membuat permohonan bantuan banjir.

“Membentangkan laporan agihan bantuan banjir kepada awam melalui sidang media khas secara terperinci pada Mac 2023 untuk memaparkan ke mana RM50.7 juta yang diberikan kepada kerajaan negeri itu disalurkan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga digesa untuk melaporkan secara terperinci, pelan jangka masa panjang bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini serta garis masa pelan tersebut, supaya rakyat mengetahui proses penambahbaikan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri diharap dapat menunjukkan ketelusan dalam menguruskan bantuan banjir diberikan pelbagai pihak seperti demi manfaat rakyat Kelantan yang terkesan dengan banjir secara keseluruhannya. – Malaysiapost

Komen