Punca kejadian 2 beradik rentung masih disiasat

Punca kejadian 2 beradik rentung masih disiasat

POLIS masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dua beradik rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Simpang Tiga Gombak, awal pagi tadi

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada jam 3.53 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kebakaran berlaku membabitkan tiga rumah dengan sebuah daripadanya hangus.

“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya lebih kurang sejam oleh pihak bomba.

“Pihak bomba telah menjumpai mayat dua mangsa di dalam salah sebuah rumah di bahagian bilik utama.

“Mangsa adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389151 atau 03-61895222,” katanya.

Terdahulu media melaporkan dua beradik iaitu Syaza Alfisya Muhammad Fauzan, 10 dan adik lelakinya Muhammad Al Qayyum, 7, rentung dalam kebakaran membabitkan kediaman mereka di Kampung Simpang Tiga, Gombak, kira-kira jam 3.30 pagi tadi. – Malaysiapost

Komen