Tuduhan Shahidan melulu, berniat jahat – Mohd Sany

Tuduhan Shahidan melulu, berniat jahat – Mohd Sany

AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menyifatkan tuduhan Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa Kerajaan Perpaduan tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, sebagai melulu dan berniat jahat.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memasuki sebulan dibentuk dan belum membuat apa-apa keputusan mengenai perkara tersebut.

“Saya ingin tanya Shahidan, bila pula kerajaan membuat keputusan mengenai perkara ini. Belanjawan pun hanya sebahagian dari peruntukan sahaja dibentangkan untuk membolehkan gaji kakitangan kerajaan dibayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sany berkata, disebabkan itu beliau menganggap kenyataan Ahli Parlimen Arau itu hanya ingin ‘memancing’ bagi menekan Kerajaan Perpaduan agar diberikan peruntukan sama dengan ahli parlimen kerajaan melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti.

“Oleh itu, saya ucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada YB Arau,” katanya.

Semalam, Shahidan mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Shahidan turut menyifatkan tindakan tersebut tidak adil kepada ahli Parlimen pembangkang.

Beliau bagaimanapun menyatakan akan membuat perbincangan secara berterusan bersama pihak terlibat bagi memastikan isu berkaitan peruntukan dapat diselesaikan.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dijadual membentangkan Bajet 2023 pada 24 Februari ini. – Malaysiapost

Komen