Bekas ADUN Sedili dilepas dan dibebas daripada tuduhan cabul

Bekas ADUN Sedili dilepas dan dibebas daripada tuduhan cabul

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dilepas dan dibebaskan atas tuduhan mencabul oleh Mahkamah Majistret Muar, hari ini.

Majistret Analia Kamaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Rasman.

Memetik laporan Harian Metro, Analia membuat keputusan itu selepas menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pendakwaan secara maksima sepanjang perbicaraan.

Rasman kemudian dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan yang dihadapinya pada 12 Jun lalu serta wang jaminannya dikembalikan semula.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman bersama Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos.

Manakala Rasman diwakili oleh peguam Muhammad Mohd Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.

Rasman, 54, yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pada Januari tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Rasman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan. – Malaysiapost

Komen