Cadangan kawalan harga daging babi dibawa ke Kabinet

Cadangan kawalan harga daging babi dibawa ke Kabinet

CADANGAN untuk mengawal kestabilan harga daging babi, menjelang Tahun Baru Cina pada 22 Januari depan, akan dibawa untuk perbincangan mesyuarat Kabinet esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan perkara tersebut selepas mesyuarat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), hari ini.

“MAFS dan KPDN akan memastikan rantai bekalan makanan kekal stabil demi kesejahteraan rakyat,” katanya hari ini.

MAFS diwakili oleh Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin.

Salahuddin berkata, mesyuarat itu adalah yang pertama dihadirinya setelah hari pertama bekerja pada tahun baru 2023.

Sementara itu, Chan menerusi hantaran Facebook, berkata dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini, beliau telah mendengar berkaitan kegusaran pelbagai pihak berkenaan kestabilan bahan makanan menjelang Tahun Baru Cina.

Ia termasuk isu bekalan dan kos daging babi.

“Kementerian-kementerian kami akan meneruskan kerjasama bagi memastikan rantai bekalan makanan kekal stabil supaya kesejahteraan rakyat terus terjamin,” katanya. – Malaysiapost

Komen