KKDW terima pandangan MPN untuk bangunkan sektor TVET – Ahmad Zahid

KKDW terima pandangan MPN untuk bangunkan sektor TVET – Ahmad Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya kepakaran ilmuan dan kluster yang wujud di bawah Majlis Profesor Negara (MPN), banyak data, kajian, penyelidikan dan idea mampu diangkat untuk pembangunan negara.

Menurutnya, antara yang boleh dimanfaatkan adalah pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membabitkan sektor pendidikan khususnya bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan delegasi dari MPN yang diketuai Pengerusinya, Datuk Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin, hari ini.

“Alhamdulillah, hari ini saya berbesar hati menerima kunjungan delegasi dari MPN. Lebih dua jam kami sama-sama berbincang dan melihat sisi kerjasama yang boleh dijalinkan.

“Pastinya, dengan kepakaran ilmuan dan kluster yang wujud di bawah MPN, banyak data, kajian, penyelidikan dan idea yang mampu diangkat untuk pembangunan negara bangsa.

“Dalam rentetan perbincangan, isu utama yang diangkat menjurus kepada isu pembangunan di bawah KKDW yang melibatkan sektor pendidikan khususnya TVET,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyambut baik cadangan yang diberikan dan akan memastikan agensi di bawah KKDW akan terus diupayakan khususnya dalam sektor TVET.

“Saya juga mengajak para ilmuan yang bernaung di bawah MPN, turut bersama dalam membantu dan memberikan kepakaran mereka dalam isu kos sara hidup demi kesejahteraan rakyat.

“Saya juga berharap sesi perkongsian dan meraikan pendapat dari para ilmuan ini akan terus diadakan kerana pertemuan seumpama ini adalah satu ‘koridor baharu’.

“Ia adalah usaha mendapatkan input terbaharu yang diperlukan di dalam memastikan dasar pentadbiran negara sentiasa memenuhi aspirasi rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen