KPM ikut nasihat KKM jika perlu tutup sekolah

KPM ikut nasihat KKM jika perlu tutup sekolah

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengikut nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung prosedur operasi standard (SOP) terkini termasuk penutupan sekolah jika berlaku peningkatan penularan Covid-19.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini KKM belum mengeluarkan pekeliling kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk berbuat demikian.

“Itu (penularan varian baharu Covid-19) juga adalah kebimbangan kita ketika ini. KPM akan menurut sahaja nasihat KKM yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa demi keselamatan anak murid kita,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai SOP pencegahan Covid-19 jika berlaku peningkatan kes.

Terdahulu beliau melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara wabak berkenaan di negara itu baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen