MKT Umno tentukan jemputan PAU kepada parti kerajaan

MKT Umno tentukan jemputan PAU kepada parti kerajaan

UMNO akan membuat keputusan berhubung jemputan kepada parti dalam kerajaan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada Khamis ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

“Kita akan bincang soal jemputan kepada parti-parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Umno dan Barisan Nasional (BN) kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Ahmad berkata PAU kali ini akan turut diadakan PAU khas (EGM) bagi membolehkan dua pindaan kepada Perlembagaan Umno dilakukan.

Katanya, EGM itu akan diadakan pada Jumaat depan atau 13 Januari selepas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, dua pindaan Perlembagaan Umno adalah bagi membolehkan Ketua Penerangan Umno di peringkat bahagian termasuk sayap layak menjadi perwakilan PAU secara automatik.

Selain itu, katanya, pindaan juga bagi menyelaras keputusan untuk menggugurkan keahlian ahli Umno yang lompat parti selaras akta lompat parti yang telah digubal. – Malaysiapost

Komen