Rafizi adakan Townhall Pandan 3 bulan sekali

Rafizi adakan Townhall Pandan 3 bulan sekali

AHLI Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengakui khidmat seorang wakil rakyat akan sentiasa ada kekurangan dan bagi mengatasinya, beliau berharap mendapat teguran dan pandangan daripada semua pihak terutama penduduk setempat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata untuk itu pihaknya menjemput semua penduduk Pandan bersua muka dengannya dalam program ‘townhall’ yang akan diadakan setiap tiga bulan sekali.

Menurutnya, townhall adalah satu forum terbuka yang memberi ruang kepada setiap penduduk Pandan untuk membawa masalah dan mengutarakan isu.

“Townhall suku pertama setiap tahun juga penting untuk menjemput pemegang taruh (stakeholders) di Pandan dari kumpulan penduduk, persatuan dan orang ramai mendapat maklumat mengenai jumlah peruntukan tahunan yang boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat Parlimen Pandan.

“Kami akan menilai cadangan-cadangan (baik permohonan bantuan, projek infrastruktur kecil dan lain-lain) yang dibawa oleh penduduk untuk diperuntukkan mengikut peraturan supaya penduduk berpeluang mendapat kebaikan dari duit cukai rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, forum terbuka itu juga akan disiarkan secara digital melalui Facebook dan platform lain.

“Saya berharap amalan ini dapat meningkatkan ketelusan urusan Pusat Khidmat Parlimen Pandan dan membantu saya menjalankan amanah dengan lebih berkesan.

“Jemput hadir beramai-ramai bagi mereka yang berkelapangan. Jemputan juga telah diedarkan kepada persatuan-persatuan penduduk, Jawatankuasa masjid, kuil dan gereja, serta pemegang taruh yang lain,” katanya.

Rafizi berkata, mereka yang mempunyai perkara atau isu yang ingin disampaikan boleh mendaftarkannya di pautan https://forms.gle/7thSSSYfPbMh13Xw5.

“Khidmat seorang Ahli Parlimen akan sentiasa ada kekurangan, saya berharap kami akan terus berusaha atasi kekurangan itu,” katanya.

Sesi Townhall Pandan bagi suku pertama tahun ini dijadualkan pada 6 Januari ini (Jumaat) yang bertempat di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah jam 8 malam. – Malaysiapost

Komen