Suaram gesa PDRM kemas kini siasatan kes rogol remaja

Suaram gesa PDRM kemas kini siasatan kes rogol remaja

SUARA Rakyat Malaysia (Suaram) mempersoal prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan siasatan berkaitan kes rogol dan gangguan seksual.

Ia susulan laporan media melibatkan seorang pegawai berpangkat inspektor yang didakwa merogol seorang mangsa berusia 16 tahun.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, pihaknya meminta satu siasatan terhadap pegawai tersebut dilaksanakan secara telus dan terbuka.

“Pihak PDRM harus sentiasa kemas kini perkembangan siasatan serta mengumumkan tindakan susulan yang diambil.

“Perkara ini tidak boleh hanya tertakluk kepada tindakan tatatertib sahaja tetapi inspektor yang didakwa terlibat dalam kes rogol ini harus dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sevan berkata, kes rogol melibatkan remaja bawah umur itu antara kes yang memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sivil.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam konteks IPCMS yang sedia ada tidak mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan setimpal.

Justeru katanya, Suaram menyeru agar kerajaan mengadakan mesyuarat libat urus bersama pihak CSO untuk kaji semula Akta IPCC yang sedia ada.

“Saram memandang serius terhadap salah laku inspektor polis tersebut. Kami menekankan bahawa keadilan kepada mangsa hanya boleh ditegakkan melalui tindakan yang tegas dan telus terhadap inspektor tersebut.

“Sistem akautabiliti polis pula perlu dikukuhkan dengan segera bagi memulihkan kepercayaan umum terhadap pihak polis,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mengenai seorang inspektor ditahan selepas seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol pegawai polis berusia 30-an itu.

Kejadian berkenaan dikatakan berlaku ketika mangsa berada di pejabat pegawai polis terbabit di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah kira-kira jam 6.30 petang Rabu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut mengesahkan mengenai penahanan pegawai itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan. – Malaysiapost

Komen