‘Suruh dia buktikan judi boleh bentuk keharmonian kaum’ – Sanusi

‘Suruh dia buktikan judi boleh bentuk keharmonian kaum’ – Sanusi

KERAJAAN Kedah tidak akan mempertimbang semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, judi bukan hanya isu untuk satu kaum sahaja, sebaliknya merosakkan semua kaum di negara ini.

“Kita takkan ada pertimbangan semula, ini bukan isu satu kaum sahaja… judi merosakkan semua kaum.

“Judi tak pernah jadi alat membentuk keharmonian kaum,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong yang berharap kerajaan negeri mempertimbang semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di negeri itu.

Swee Leong berkata, langkah itu wajar dipertimbang semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Swee Leong terlebih dahulu diminta untuk membuktikan judi boleh membentuk keharmonian kaum.

Katanya ini kerana keharmonian kaum hanya boleh dibentuk melalui integrasi di sekolah, aktiviti sukan, silang seni budaya, bahasa pertuturan yang sama dan lain-lain.

“Suruh dia buktikan judi boleh bentuk keharmonian kaum,” katanya.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian. – Malaysiapost

Komen