Syed Saddiq sifatkan kes pegawai polis rogol remaja menjijikan

Syed Saddiq sifatkan kes pegawai polis rogol remaja menjijikan

PRESIDEN Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan perbuatan seorang pegawai polis yang didakwa merogol seorang remaja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah, baru-baru ini sebagai menjijikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar, mempersoalkan tiga perkara berhubung kejadian malang yang didakwa membabitkan remaja perempuan berusia 16 tahun itu.

“Mengapa polis (bukan doktor) yang periksa dan paksa kanak kanak untuk dibogelkan?

“Prosedur operasi standard (SOP) untuk siasat kanak-kanak tidak sama dengan dewasa. SOP ini dibakulsampahkan ke?

“Mana anggota polis yang lain semasa mangsa disiasat, dibogelkan dan dirogol? Menjijikkan,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitternya, hari ini.

Syed Saddiq yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, merujuk laporan media mengenai seorang inspektor ditahan selepas seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol pegawai polis berusia 30-an itu.

Kejadian berkenaan dikatakan berlaku ketika mangsa berada di pejabat pegawai polis terbabit di sebuah IPD di Kedah kira-kira jam 6.30 petang Rabu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut mengesahkan mengenai penahanan pegawai itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan. – Malaysiapost

Komen